I
Tadika Mustika -1995
Hari pertama di tadika. Seorang budak perempuan berkemeja putih bertali leher kuning juga berskirt kuning paras lutut duduk di meja belakang sekali. Dia yang berlumba basikal sebelum ke tadika tadi berasa dahaga. Hendak minum segan tak tahu cara. Tekaknya terus menjerit-jerit untuk dibasahkan. Dengan tubuh yang kecil dia menyelinap ke bawah meja. Puas diteguk sebotol air yang dibekal ibunya.
Tiba-tiba,
"Awak yang menyorok bawah meja tu buat apa?!", jerit Cikgu Fauziah sambil menjenggilkan biji mata.
Tersedak dia dan terus menangis. Tak mampu lagi ditahan air mata yang diminta dicurah keluar. Entah apa yang dibelajar di situ dia tak ingat tapi peristiwa ini yang paling terkesan di hati. Setiap kali dalam apa-apa majlis pasti dia teringat kisah ini kalau tekak menjerit minta dibasahkan.
II
PASTI An-Naim 1996-1997
Dia melanjutkan pengajian tadikanya di tadika lain. Akibat trauma kisah dijenggil dengan Cikgu Fauziah, dia menangis saat abah meletakkan dia ke tanah dari dukungan abah. Tangisnya susah diredakan. Lalu Ustaz Razali yang merupakan pengetua di tadika tersebut bertukar shif dengan abah. Ambil dia dan letak pada bahu. Sedang orang lain sudah memulakan hari pertama di tadika dia pula bertenggek sepanjang hari dalam dukungan ustaz. Ke hulu ke hilir mengikut ustaz. Diupah dengan pelbagai coklat dan gula-gula biar tangisnya reda dan boleh diletak di bawah.
Sudahnya dia jadi anak emas ustaz. Setiap petang selepas tamat kelas dia boleh sesuka hati masuk ke rumah ustaz biarpun sering ditegah Cikgu Sabariah dan Cikgu Hasbiah guru kelasnya. Anak murid kesayangan la katakan.
Dia juga sesuka hati pernah bertanya kepada Cikgu Sabariah,
"Cikgu, cikgu. Kanak-kanak bagus minum susu kan?"
"Ye, aishah. Aishah kat rumah minum susu dalam botol ke cawan?"
"Kite minum dalam botol cikgu. Cikgu, kalau kite nak bawak botol susu pergi tadika boleh?"
"Boleh, nanti boleh minum di tadika"
"Yeay! Esok jom bawak botol susu!"
Keesokan harinya semua murid di dalam kelas bawa botol susu dan bangga meletakkannya di atas meja. Dia memang bijak dalam banyak hal. Hingga pada suatu hari,
"Awak, isi karipap ni pedas la. Kite tak suke"
"Buang jela. Jangan makan"
"Kite buang kat tingkap boleh?"
"Boleh"
Bukanlah isi karipap itu dibuang keluar dari tingkap tapi pada tetingkap kelas. Penuhlah sisi tingkap dengan inti karipap. Lebih menarik, kelas lain turut menyertai sama idea buang inti karipap di tepi tingkap ini.
Di satu petang yang nyaman, berhembus angin sepoi-sepoi bahasa. Aishah dan kawan-kawan seronok bermain di atas buaian. Tiba-tiba,
"Ya Allah, banyaknya inti karipap. Tingkap ni makan karipap ke?"
Aishah dan kawan-kawan gelak mengkekek. Di sini aishah berkenalan dengan Sufiah, Suhaila, Amalina, 'Atiqah, Akram yang tembam dan Muadz yang hingga hujung tahun bawa botol susu.
III
Taski ABIM Al-Ubudiyah - 1997
Keluarga Aishah berpindah rumah jadi dia juga terpaksa berpindah tadika. Di hari pertama dia mencuba untuk menangis mana tahu dapat lagi didukung hingga ke petang. Malangnya mungkin aura matangnya sudah kelihatan jadi dia gagal untuk terus menangis. Dia duduk bersebelahan dengan Syazwani. Baru-baru ni di sebuat stesen KTM.
"Awak nak balik Shah Alam ke?"
"A'ah. Awak pun?"
"Ya, sama la. Awak duduk section 19 kan?"
"A'ah. Awak pun ke?"
"Tak la. Tapi kite macam kenal awak. Nama awak Syazwani kan? Tadika Ubudiyah dulu? Awak ingat kite Aishah yang duduk sebelah awak tu?"
"Aishah ke! Dah besar!"
"Awak pun la!"
The rest is history.
Di Tadika Ubudiyah dia mula belajar dengan sistem qiraati dengan Cikgu Fauziah dan Cikgu Aini. Cikgu Fauziah suka menyanyi di dalam kelas. Nama Aishah sering dilagu-lagukan.
"Aishah istimewaaaa"
Satu lagu yang tak pernah lupa. Cikgu Fauziah suka lagukan ketika memanggil seorang murid bernama Fadhli. "Fadeli fadelot" yang sudah aku lupa rentaknya. Di sini Aishah sudah menjadi taiko membuli seorang budak bernama Munirah. Munirah anak polis dan berbadan agak gempal. Aishah menghasut orang lain supaya jangan berkawan dengan Munirah sebab dia gempal. Akhirnya kini aku yang gempal. Balasan Tuhan mungkin. Munirah, kau maafkan aku?
Aku rasa dah rupa hikayat budak nakal tapi aku gagahkan juga untuk publish. Nanti aku karangkan kisah di sekolah rendah. Baru sedar nakalnya aku dulu. Komen la kalau sudi.
Moga Allah sayang kita semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment